Tuesday, 20 September 2011

kisah seorang nabi


Abu Laits as-Saarqandi adalah seorang ahli fiqh yang mashur. Pada suatu hari dia berkata ayahnya menceritakan bahawa antara nabi-nabi yang bukan rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada juga yang hanya mendengar suara.

Maka salah seorang nabi yang menerima wahyu melalui mimpi telah bermimpi diperintahkan Allah yang berbunyi “esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat yang pertamanya adalah apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, yang kedua engkau sembunyikan, yang ketiga engkau terimalah, yang keempat jangan engkau putuskan harapan dan yang kelima larilah engkau daripadanya.”

Pada keesokan harinya nabi itupun keluar dari rumah menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapi ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan kerana yang pertama dihadapi, dia mesti memakannya. Sungguh aneh kerana mustahil baginya melaksanakan perintah tersebut.

Walaubagaimanapun dia terus berjalan menghampiri bukit tersebut. Tiba-tiba dengan kehendak Allah bukit tersebut mengecil sehingga sebesar sebuku roti. Maka nabi itupun mengambilnya lalu dimakan. Bila ditelan rasanya sungguh manis seperti madu. Dia pun mengucapkan syukur Alhamdulillah.

Nabi itu kemudiannya meneruskan perjalanan dan bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat arahan mimpinya supaya disembunyikan, lalu dia pun menggali sebuah lubang untuk menyembunyikan mangkuk emas tersebut. Walaubagaimanapun mangkuk emas tersebut terkeluar semula. Dia menanam semula dan kemudiannya mangkuk emas terkeluar lagi. Selepas tiga kali menanam nabi itu pun berkata “aku telah melaksanakan perintahMu” dan terus meninggalkan tempat itu tanpa disedari yang mangkuk emas itu terkeluar juga.

Kemudiannya dia ternampak pula seekor burung kecil yang dikejar burung helang. Burung kecil berkata “wahai nabi Allah tolonglah aku”. Mendengar rayuan burung kecil tersebut hatinya merasa simpati dan teringat perintah ketiga iaitu engkau terimalah, maka dia pun mengambil burung itu dan memasukkannya ke dalam baju.

Melihat keadaan itu burung helang pula menghampirinya dan berkata “wahai nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak dari pagi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku untuk mendapat rezeki.” Lalu nabi tersebut teringat perintah keempat iaitu jangan putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Akhirnya dia mengambil pedang dan memotong sedikit daging pahanya untuk diberikan kepada burung helang.

Setelah kejadian tersebut nabi meneruskan perjalanan sehingga terjumpa satu bangkai yang amat busuk. Dia teringat perintah kelima iaitu melarikan diri daripadanya. Lalu dia pun bergegas melarikan diri dari bangkai tersebut kerana tidak tahan dengan bau busuknya.

Setelah melalui kelima-lima peristiwa tersebut, maka kembalilah nabi ke rumahnya. Pada malam itu dia berdoa kepada Allah supaya menjelaskan erti kesemua peristiwa tersebut.

Melalui mimpi Allah menjelaskan bahawa yang pertama engkau makan itu adalah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar, dapat mengawal dan menahannya maka marah itu akan menjadi lebih manis daripada madu.

Yang keduanya semua amal kebaikan iaitu budi walaupun disembunyikan maka ia tetap juaga akan nampak.

Yang ketiganya jika sudah menerima amanah daripada seseorang maka janganlah kamu mengkhianati amanah tersebut.

Yang keempatnya jika seseorang meminta kepadamu maka usahakanlah untuknya demi membantu meskipun kamu sendiri berhajat.

Manakala yang kelimanya pula adalah bau busuk itu sebenarnya adalah umpatan (ghibah). Maka sekiranya kamu terjumpa mereka yang sedang berkumpul sambil mengumpat orang lain, larilah dari mereka tersebut.
Kelima-lima perkara ini sebenarnya sentiasa berlaku di dalam kehidupan kita sehari-hari khasnya mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa mengata orang lain itu akan mengurangkan pahala kita.

Sebuah hadis mengatakan di akhirat kelak ada seorang hamba Allah yang akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya “Ya Allah sesungguhnya pahala yang engkau berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu.”

Maka jawab Allah “Itu adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu.” Dengan ini haruslah disedari bahawa mengata orang itu akan merugikan diri sendiri walaupun ianya adalah perkara yang benar.

kisah cendekiawan vs gembala kambing


Kejadian berlaku di sebuah negara yang tidak dapat dipastikan namanya. Masyarakat dalam negara itu hidup dalam keadaan yang aman dan damai.Rata-rata penduduknya adalah yang menganut agama Islam. Suatu hari datang seorang cendekiawan kristian, yang ingin menguji keagungan dan kebenaran Tuhan yang disembah. Cendekiawan itu berjumpa dengan raja negara tersebut dan meminta kebenaran untuk berdebat dengan penduduk-penduduk di negara itu.


Pertaruhan yang telah ditetapkan oleh cendekiawan itu adalah, jika dia dikalahkan, dia beserta seluruh ahli keluarganya akan memeluk Islam.Sebaliknya jika dia menang, raja hendaklah memberi dia kekayaan dan kebenaran menyebarkan agamanya di situ. Dan syarat terpenting perbahasan ialah menggunakan bahasa isyarat. Kemudian raja pun bertitah mengumumkan pertandingan tersebut kepada rakyat dan barangsiapa yang kalah, dia akan dikenakan hukuman yang berat. Setelah hampir waktunya, muncullah seorang pengembala kambing Islam yang ingin membela agamanya. Dengan berat hati,raja membenarkan kerana tiada siapa lagi yang berani menyahut cabaran itu. Pada hari pertandingan, rakyat berkumpul di padang yang luas dan gembala kambing didudukkan bertentangan dengan cendekiawan kristian. Bermulalah soalan, cendekiawan menunjukkan satu jari kepada hadirin.


Gembala kambing pula menunjukkan dua jarinya pada hadirin. Dan jawapannya betul.Cendekiawan pula menunjukkan dua jari pula dan gembala kambing menunjukkan lima jari, jawapannya juga betul.Kemudian, cendekiawan menunjukkan lima jari, gembala kambing menunjukkan enam jari. Betul juga! Raja mula berfikir, hebat juga gembala kambing ini.


Cendekiawan yang tidak berpuas hati, membuat bulatan pada hadirin dengan tangannya, kemudian gembala kambing menunjukkan penumbuk tangannya. Betul lagi... Lalu cendekiawan tersenyum puas hati. Cendekiawan mengeluarkan pedang dan halakan ke langit. Gembala kambing pula mengeluarkan pisau kontotnya, lalu dijunamkan ke bumi. Betul! Lalu cendekiawan menepuk tangan.


Cendekiawan kemudiannya menunjukkan seekor ayam ditangan dan gembala kambing menunjukkan telur ayam ditangan. Betul... Maka tamatlah sesi perdebatan. Raja amat berpuas hati dengan kepandaian gembala kambing. Cendekiawan itu mengadap raja, untuk menunaikan janjinya. Raja bertanyakan soalan dan jawapan perdebatan antara cendekiawan dan gembala kambing. Cendekiawan pun mula bercerita...


"Sungguh hamba akui kebesaran Tuhan, sehingga rakyat tuanku dapat menjawab dengan baik sekali. Sebenarnya soalan hamba, tunjuk satu jari bermakna adakah kalimah syahadah cuma yang pertama sahaja? (Asyhaduallah ilahaillallah...) Jawapan yang diberikan gembala kambing, dua jari.Jawapannya betul kerana sambungannya, (wa asyhaduan namuhammadarrasullullah)"


"Hamba tunjukkan dua jari, bermakna adakah rukun islam ada dua? Gembala kambing memberi jawapan, lima. Betullah... Bila hamba tunjukkan lima jari,maksudnya adakah islam setakat itu sahaja? Jawapan yang diberikan enam jari, sebab rukun iman ada enam" "Bulatan pula bermakna siapa yang jadikan bumi? Gembala kambing menjawab penumbuk, betullah sebab Allah yang Maha Berkuasa. Bila hambamengeluarkan pedang dan menunjuk ke langit, gembala kambing mengeluarkan pisau kontotnya dan menjunamkan ke bumi. Betullah... kerana Allah yang jadikan langit dan bumi."


"Ayam tu sebenarnya soalan bonus... apakah asal usul kejadian ayam itu Jawapannya telur... betullah...Sesungguhnya hamba amat berbesar hati dan akan mendalami islam sepenuhnya, serta menyebarkannya" Raja tersenyum gembira mendengar soalan dan jawapan tersebut.Kemudiannya gembala kambing dipanggil untuk mengadap Raja, maka diberikan ganjaran yang telah dijanjikan. Dan bertanyalah Raja akan rahsia gembala kambing tersebut, adakah soalan itu dah bocor? Gembala kambing pun bercerita...


"Hamba sungguh tak puas hati betul dengan orang Kristian yang sombong itu.Dia tunjuk satu jari, maknanya dia nak kambing hamba satu. Jadi hamba menjawab, dua pun hamba boleh bagi. Dia tunjuk dua maknanya dia nak lagi dua pulak! Nak empat la maksudnya. Dan hamba jawab lima pun boleh.Kemudian dia tunjuk lima, maknanya takkan lima jea...? Oklah hamba boleh bagi enam pada dia."


"Lepas tu dia tunjuk bulatan, maknanya dia nak semua kambing hamba.Hamba pun tunjuklah penumbuk. Pas tu dia keluarkan pedang, wah wah... dia ingat orang kaya je ada pedang. Hamba pun tunjuk pisau kontot hamba.Sekurang-kurangnya hamba ada juga. Kemudian dia tunjuk ayam pulak! Amboi... mentang-mentanglah dia kaya, selalu makan ayam... Hamba pun mampu... walaupun hanya telur ayam. Tapi patik tetap bersyukur, kerana dia dah sedar dan nak peluk islam, sekurang-kurangnya dia takkan sombong dan bongkak lagi..."


Tergelak besar Raja mendengar penjelasan gembala kambing tersebut. Sungguh besar keagungan Tuhan...walau dengan cara apa sekalipun islam dicabar dan dihina, Islam akan tetap terbela.

kisah berkat membaca bismillah

Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan. Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa didahului dengan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya.

Suaminya berkata sambil mengejak, "Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah." Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah S.W.T. supaya memberikan hidayah kepada suaminya.

Suatu hari suaminya berkata : "Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu." Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini."

Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.

Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan." Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan duit itu dia membuka dengan membaca, "Bismillahirrahmanirrahiim."

Ketika itu Allah S.W.T. menghantar malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan beg duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah, dan dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja.